Monday, March 5, 2012

aku bersyukur.....

[Enter Post Title Here]

Pandangan berpinar, kabur. Dingin menggigit hingga ke tulang, terasa tubuh terketar-ketar. Perutku. Oh perutku! Sakit bagai dihiris, disiat-siat, bukan kepalang. Detik itu jua kepalaku pusing, alam berputar. Sepasang mata ini tidak mampu kubuka lagi. Kelam.

Entah berapa jam selepas itu aku sedar kembali. Pandangan masih kabur, kedinginan masih mencengkam, perutku masih pedih , kepalaku sakit, tapi kugagahi membuka mata. Pandangan melilau tanpa arah, mencari wajah-wajah yang kurindu. Mama, mama dah sedar…itu suara Tiha, anak sulungku. bayang-bayang wajah menerpa.Terasa tangan-tangan kecil menyentuh-nyentuh tanganku dan tubuhku. Dalam linangan airmata, kuukir senyuman. Satu ciuman hangat singgah di pipiku. Itu ciuman paling manja si bongsuku, Hazrina. Kepala kecilnya melintuk di bantalku. Ingin ku seka airmata, namun aku tak berdaya walau mengangkat seruas jari. Damia, anak keduaku, dengan pantas mengesat airmataku yang terus mengalir dengan tisu, seakan mendengar hasrat hati. Wajah Alyaa, Haziq dan Haikal mencerminkan kesayuan dan kesedihan.

Seketika, muncul satu wajah, penuh cinta, dengan pandangan sepasang mata yang bisa menggetar hati, menguntum senyuman paling manis. Itulah kekasih hati belahan jiwa. Sepasang bibir hangat mencium dahiku. Tak perlu kata-kata, tak perlu suara, itu sudah cukup membahagiakan……suami tercinta, dia sentiasa membuatkan kehidupan yang rumit dan memenatkan jadi mudah dan indah…..

Empat hari terlantar di hospital, aku pulang ke rumah. Berpapah dan berpimpin, aku melafaz syukur berulang kali. Tiada tempat seindah mahligaiku ini, sederhana, terbina dengan kasih sayang dan rahmat Allah yang melimpah ruah. Ruang kecil tapi dipenuhi cinta yang besar. Cinta yang besar hanya ada pada jiwa yang besar. Berbelas tahun aku memerah otak dan keringat, menggali segenap ilmu dan formula yang ada bagaimana membentuk dan melahirkan anak biar bertubuh kecil tapi berjiwa besar. Menghormati orang lain, mentaati Allah dan ibu bapa, bertolak ansur dan mengalah, bersabar kerana mengharap redha Allah…itulah wiridku sentiasa dalam mendidik anak-anak. Bukan tugas mudah mengisi rohani dan intelek menjadi jiwa perkasa.

Di atas sofa usang berwarna gelap, terbentang selimut dan bantal empukku. Segelas milo panas dan beberapa keping biskut tersedia untukku. Selonggok kain baju yang baru diangkat dari ampaian berserakan di atas kerusi kayu. Beberapa novel dan majalah bersepah di atas meja. Beberapa ekor anak patung beruang di bawah meja dan di atas kabinet TV. Biji-biji dam bertaburan di atas karpet. Meja makan masih sarat dengan cawan dan kerak-kerak roti yang kering. Melihatkan mataku meliar memerhati sekeliling, Tiha dan Damia bingkas mencapai dan mengemas apa yang perlu. Itu suasana lumrah dalam rumah teres dua tingkat yang dihuni kami lapan sekeluarga. Suami menghulur milo panas dan sekeping biskut diiringi beberapa butir ubat yang kutelan. Aku menurut saja. Tak mampu berkata-kata dan bersuara, aku merebahkan diri perlahan-lahan di atas sofa panjang. Terlena dalam keriuhan suara-suara kecil yang tenggelam timbul di pendengaranku.

Tiba-tiba terasa mahu ke tandas. Haikal, walau usia sekecil 8 tahun, cepat mengerti dan memahami keadaan. Jari-jari kecil itu laju menanggalkan stoking di kakiku. Terkadang nakal dan gemar mengusik si bongsu. Anak ke lima ini punya emosi yang terkadang sukar dimengerti, pabila angin sepoi, manjalah dia, pabila angin membadai, radang dan amuknya meremuk jiwaku. Mujur aku bukan mudah naik tangan. Dalam diam, aku akur, anak-anak inilah sebenarnya yang mengajar aku erti kehidupan sebenar. Lumrahnya, aku mendidik mereka, hakikatnya aku terdidik dek fitrah mereka. Berpimpin dan berpapah, dibelai dan dimanja….aku puas merasai kasih sayang yang melimpah ruah. Selama ini aku bersengkang mata, berkorban apa saja menjaga dan mengasuh mereka, inilah hasilnya. Tatkala aku terlantar tanpa mampu melakukan apa-apa, mereka di sisi, memberi segalanya. Ternyata pembedahan fibroid yang menyakitkan ini menjadi kenangan paling manis dalam hidupku.

Aku bersyukur ya Allah atas nikmat paling hebat yang Kau anugerahkan kepadaku; cinta insan-insan yang paling kucinta!

Mama

14 Dis 2011

Friday, February 4, 2011

benarkah kita 'cahaya mata'?

aku, kamu, dia dan mereka
lahir atas nama cinta
tautan kasih ibu dan ayah


lahirnya kita ibarat cahaya mata
bersinar dan sentiasa kemilau di pandangan
ditatang dibelai dimanja
diasuh dididik sepenuh jiwa

pabila usia mendewasakan kita
pabila teman dan hiburan lebih mengujakan
pabila terasa darjat dan pangkat lebih dihargai
pabila harta digenggaman sendiri
ibu bapa bukan lagi soal utama

wahai 'cahaya mata penyinar jiwa'
ibu bapa adalah insan paling mulia selepas Rasulullah
syurga ada dalam redha mereka
cinta Allah ada dalam cinta mereka
lupakan sengketa, jernihkan segala kekeliruan
mohon ampun dan kembalilah
kepangkuan mereka

ibu bapa jua manusia biasa
punya cela dan dosa
pandanglah mereka dengan mata hati
terlihatlah segala kemurnian dan keikhlasan
yang mungkin selama ini terhijap oleh mata kasarmu

semoga Allah sentiasa merahmati....

six is enough!!

dunia tanpa sempadan, langit terbuka, era ledakan maklumat.....apa lagi keghairahan mempamerkan canggihnya teknologi memacu kemodenan masa kini. memang boleh dibanggakan....namun hakikatnya, cabaran dan keperitan dalam membesarkan anak-anak jua bukan sekadar berganda, tetapi sangat memeningkan kepala.

berkerjaya dan menjadi ibu kepada 6 orang cahayamata hakikatnya amat melelahkan. bukan merungut, bukan mengeluh, sekadar berkongsi rencamnya rasa. tanpa pembantu rumah, jua tanpa terlalu mengharapkan bantuan suami yang mencari rezeki menyara keluarga besarku.... aku bergelut sendirian dengan tuntutan-tuntutan yang terkadang tak menang tangan. urusan rutin, kewangan, pendidikan, persekolahan, riadah, ibadah malah segala-galanya tergalas di bahuku. bisikku pada hati 'semua ini adalah tawaran hebat Allah padaku untuk melabur dalam saham akhirat'....mulanya sekadar memujuk, lambat laun rupanya menjadi realiti yang sekarang amat kusyukuri.

terkadang, dalam senda dan gurau, kusuarakan pada suami untuk menimang cahaya mata lagi. sekadar menduga. ternyata, dalam redup sepasang mata yang hingga kini masih memukauku, bisikan lembutnya menyentuh hati.....'sayang, six is enough.' raikanlah apa yang kita ada sekarang..... hati kecilku mengiyakan. isu-isu gejala yang dulu menular di kalangan anak-anak, kini membarah dan mendarah daging sehingga melumpuhkan jiwa-jiwa remaja yang akhirnya membuahkan 'buah busuk dan rosak' dalam segala bentuk jenayah dan maksiat. runtuhnya akhlak anak-anak masa kini mencerminkan gagalnya institusi kekeluargaan, tersungkurnya dan berkuburnya keramat ibu bapa sebagai pemimpin paling berkuasa dalam keluarga. ibu bapa hakikatnya menikus di hadapan anak-anak atas nama kasih sayang kononnya, menjadi hamba material kepada anak sendiri jua atas nama cinta, malah... bagai sampah yang boleh dibentak dan diherdik sesuka hati. seketika aku tersedar, cukuplah yang enam ini. doaku pada Allah, peliharakanlah anak-anakku dari segala kemungkaran dan kemaksiatan, bimbinglah hati mereka menjadi anak soleh dan solehah, berilah kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran, dalam hidup mereka di dunia dan di akhirat, serta masukkanlah kami semua ke dalam syurgaMu dengan rahmat dan cintaMu ya Allah....

Thursday, February 3, 2011

inilah ruang cintaku....

rumahku syurgaku
bahagia bukan pada luasnya
bukan pada ceria hiasannya
bukan jua pada tebalnya permaidani dan berkilaunya kemasan lantai

satu ruang penuh cinta
bergema tazkirah dan kuliah
santai penuh sahaja
sambil meneguk teh o dan mengunyah goreng pisang
medan ilmu dan nasihat
persoalan demi persoalan
kujawap satu persatu
anak-anak kecil
bertanya itu dan ini
anak-anak remaja
bertanya mengapa dan bagaimana
kujawap sambil meraba-raba dasar hati mereka
terkadang berderai hilai tawa
terkadang wajah tertunduk bergenang airmata

satu ruang penuh cinta
sempit, tapi luas hikmahnya
sambil memandu
bergema ayat suci dan zikrullah
nasihat dan peringatan diulang-ulang
indah megahnya alam jadi bualan
mencelik mata hati dan akal budi
membesarkan Ilahi di hati

dua ruang penuh cinta
meja makan nan usang dan kenderaan tua
menjadi medan makrifatullah
didikan pertama di awal usia
merentas ruang dan masa.....

Tuesday, February 1, 2011

pabila gadismu menangis kerana cinta

wajah yang selalu ceria, manis dan penuh gurau senda tetiba terhumban ke ribaku dengan titisan airmata. butir-butir mutiara menitis laju bersama sendu. sepasang mata bundar yang selalu bersinar kini suram, sayu, pilu. tanpa kata, tanpa suara... isyaratmu telah mama terima. apalagi yang mampu menyayukan hati pada usia ini kalau bukan hebatnya penangan cinta!

gadisku....meski jemariku mengusap rambut ikalmu, sebenarnya mama membelai dan merawat hati dan emosimu yang luka. perlukah bersedih begini sayangku? perlukah meratapi cinta yang kita tak punya? perlukah menguburkan seluruh cinta anugerah Tuhan paling agung semata-mata kerana dia melangkah pergi? hanya satu yang hilang, dan ternyata kau masih punya ratusan cinta yang sentiasa meraikan hatimu.....

gadisku....teman datang dan pergi, pengalaman suka duka datang dan pergi, guru-guru datang dan pergi...perlukah kita tangisi semuanya? ini lumrah hidup. luka di hatimu bagai seurat selumbar, sakit...apabila dibuang, esoknya sembuh semula. pengalaman yang kau alami ini sangat berharga, berharga untuk kau jadikan penawar menempuh kesakitan dan kegagalan yang bakal menghentam hidupmu. lebih banyak dugaan dalam hidup, lebih bermakna hidup ini.

gadisku....hapuskan airmata itu. mama ada di sisi. bukankah cinta dan sayang mama mampu mengatasi cinta picisan yang lain? Allah ada di hatimu. bukankah cinta Ilahi yang memimpin kita jalan ke syurga, bukan cinta gelandangan yang merempat di pinggir jalan? muhasabahlah cintamu....yakinlah, yang pergi itu sebenarnya yang cacat dan pincang buatmu.....

kerana aku seorang guru....

assalamualaikum wbt
kepada bonda tercinta, adik-beradik yang sudi menangis ketawa bersama, kepada ipar duai yang mewarnai kehidupan keluarga besarku dengan keikhlasan cinta, kepada suami belahan jiwa, anak-anak cahaya di mata penghibur lara, kepada anak-anak saudara kebanggan ayah ibu, penyambung generasi keluarga, kepada rakan taulan yang selalu dekat di hati,
kepada bekas anak-anak murid yang kini sedang meniti usia remaja yang penuh warna dan gelora, kepada anak-anak murid yang sedang asyik diulit keghairahan mengintai-intai seronoknya dunia, kepada hadirin yang sudi meluangkan sedetik masa bersamaku......terima kasih!

kerana aku seorang guru
fitrahku mendidik
bukan sekadar membongkar ilmu di helaian buku
tapi ilmu yang memandu hidup
di rimba dunia yang sangat menyesatkan

kerana aku seorang guru
aku melihat dengan mata hati
bukan senyum tangis yang kudengar
tetapi cahaya yang terpancar dari wajah
bahasa tubuh dan ekspresi diri yang lantang
minta didengari, dibelai, dilindungi....

kerana aku seorang guru
kusahut cabaran menjadi teladan
meski payah dan lelah kerana aku juga insan biasa
terpalit di sana sini lumuran dosa dan noda
namun demi tugas murni
kubasuh zahir dan batin dengan kalimah Allah
agar cahaya iman mampu menyuluh hati hati kecil anak didikku

kerana aku seorang guru
pasti terikat dengan watak selayaknya
memakai pakaian ilmu yang sopan
berhias dengan akhlak nan mulia
bertutur dengan bahasa sejagat yang mudah difahami
melangkah dengan penuh kesyukuran
memanfaatkan segala nikmat iman, islam dan ihsan anugerah Tuhan
dengan memberi ilmu

Ya Allah
semoga tugas mulia mendidik anak bangsa
memperkasa minda, mendidik hati dan memperutuh jiwa
menjadi ibadah yang akan kubawa pulang bertemu denganMU......
Ya Rahman Ya Rahim
Ya Hayyu Ya Qayyum
Ya Zal Jalalil Wal Ikram.......


kuasa hijrah....

hanya ada 3 perkara yang mengiringi ke alam barzakh; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh. aduh! pada usia sebegini, apalah lagi yang bermain di jiwa jika bukan mempersiap diri pulang ke kampung akhirat. jiwa nan kerdil, penuh cela dan dosa, saban waktu menghitung dosa pahala, meratapi kemungkaran yang pernah mewarnai hidup. ah! manusia biasa pasti terjerat dengan bisikan-bisikan durjana sang iblis! dan setiap kali itu jualah, lafaz astagrfirullah berulang kali diwirid hingga terlena. melazimi solat sunat taubat dan bertahajjud memberi kesan ketara pada hamba ini, al Quran jadi kekasih hati yang sentiasa didampingi. dalam kesempitan hidup yang menghambat, dalam kesuntukkan masa yang memburu urusan duniawi, ruang-ruang dan peluang-peluang diintai untuk memperbaiki diri. dalam segala keterbatasan waktu, iman dan taqwa digilap perlahan-lahan, tawakal dimantapkan, kalam suci jadi makanan rohani, hamba ini jadi seorang perindu yang bersunyi-sunyi di malam hari untuk mengadu dan merayu-rayu. semoga apa yang ternukil di sini buat tatapan anda, akan mampu mencetus sebutir keinsafan, melahirkan amar makruf yang akhirnya menjadi saham untuk dibawa pulang......